Ada yang tak kena dengan Siti Balqis ni. Berita kononnya dia dilarikan oleh jin berbulu ke Gunung Jerai hanyalah rekaannya semata-mata. Apa sebab dia buat begitu? Apa yang diharapkan agar keluarga Siti Balqis dapat memberikan penjelasan yang sejelas-jelasnya kelak. Bukannya apa, ramai yang sudah menaruh simpati, tidak kurang yang bersengkang mata menjaga Siti Balqis di rumah, berpuluh bomoh dan pengamal perubatan cuba mengubati beliau. Rupa-rupanya ini adalah lakonan dari beliau sahaja?
Macam-macam kisah Siti Balqis nih, dari berita dia disorok dek jin, berita batu permata jatuh dari bumbung sehinggalah yang terbaru, dikatakan dia dilarikan jin berbulu ke Gunung Jerai, walhal siasatan polis menunjukkan beliau berada di jelebu, Negeri Sembilan.
1. Misteri kehilangan Siti Balqis Mohd Nor yang didakwa keluarganya disorok ‘Jin Islam’ di Gunung Jerai, Kedah, sejak Ahad lalu, terungkai selepas gadis itu ditemui polis di rumah keluarga seorang kenalannya di Kampung Batu 18, Ulu Klawang, Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pagi semalam.
2. Siti Balqis sebenarnya keluar seorang diri dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Jertih dan menaiki bas ekspres ke Shah Alam pada jam 9 malam, sebelum ke Seremban dan meneruskan perjalanan menaiki teksi ke Kuala Klawang.
3. Ketika di situ, Siti Balqis, 22, tinggal di rumah seorang sahabat pena perempuan yang dikenalinya menerusi laman berkenalan sebuah majalah remaja pada 2005, tetapi tidak pernah bertemu sebelum ini. Polis mendapat maklumat mengenai gadis itu apabila bapa sahabat pena Siti Balqis menghubungi polis daerah Jelebu selepas terbaca berita kehilangan misteri gadis itu dalam akhbar ini.
4. Polis juga mendapat petunjuk gadis itu berada di Negeri Sembilan selepas semakan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibunya pada jam 5 pagi Isnin lalu mendapati pencawang terakhir ialah di Kuala Klawang.
5. Pada Isnin lalu, Norizan memberitahu menerima SMS daripada anaknya pada jam 5 pagi yang mendakwa berada di Gunung Jerai selepas dibawa jin berbulu lebat.
6. Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata laporan Norizan di Balai Polis Jertih pada jam 1.30 pagi Isnin lalu, antara lain menyebut melihat anaknya menaiki kereta Perodua Kembara milik keluarga pada jam 8 malam.
7. “Berikutan laporan itu, kita menjalankan siasatan kes orang hilang dan meliputi semua aspek termasuk sama ada gadis berkenaan melarikan diri atau dilarikan,” katanya sambil menambah kereta itu ditemui di Stesen Bas Jertih pada jam 1 tengah hari Isnin.
8. Norizan ketika ditemui terkejut dengan penemuan itu kerana sebelum ini anaknya menghantar SMS dan memberitahu berada di Gunung Jerai dan dibawa jin berbulu serta yakin anaknya berada di gunung berkenaan berdasarkan gerak hatinya.
9. Norwaniza pula berkata, dia selalu berutus surat dan menghubungi Siti Balqis tetapi hanya bertemu selepas kenalannya itu datang sendiri ke rumahnya Isnin lalu.
10. “Saya tidak menduga pertemuan ini rupanya dengan seorang gadis yang sering dilaporkan ghaib kerana sebelum ini Siti Balqis tidak pernah menceritakan kisahnya,” katanya.
11. Di Kuala Kelawang, ibu Nurwaniza berkata gadis itu mengajaknya dan anaknya ke Seremban, Selasa lalu dan menggunakan wang sendiri membeli pelbagai makanan dan pakaian bernilai RM279, termasuk tiket bas untuk pulang ke Terengganu.
12. Ramlah Meon, 60, berkata beliau pelik melihat Siti Balqis kerap SMS dan apabila ditanya dimaklumkan ia di hantar kepada kawannya.
13. “Siti Balqis beritahu dia tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibunya meninggal dunia dalam kemalangan November tahun lalu. Dia turut beritahu rumahnya besar dan ada tujuh bilik lengkap dengan pembantu rumah dan kolam renang,” katanya.
14. Ramlah berkata, pembohongan Siti Balqis terbongkar apabila anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu datang ke rumahnya, kelmarin, berikutan SMS diterima ibu Siti Balqis menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas nama Nurwaniza.
15. Beliau berkata, ketika menyelongkar beg pakaian Siti Balqis, mereka menemui lebih 20 kad sim yang masih aktif, sejumlah wang, beberapa kad ATM dan sebuah kotak kecil berisi 10 batu delima dalam kain kuning.
Apa motif sebenar Siti Balqis? adalah betul-betul beliau sakit yang memerlukan beliau berjumpa dengan pakar psikiatri? Kalau perlu, segerakanlah! Kenapa? apa motif beliau menyatakan ibunya sudah meninggal dunia dan duduk di banglo mewah? kalau betul Siti Balqis berkata begitu, memang patut disegerakan rawatan beliau dengan pakar psikiatri.
Siti Balqis memang unik, kami nak juga tahu bagaimana dengan insiden batu permata yang jatuh dari atas siling, Siti Balqis hilang dari pandangan walaupun dikawal ketat oleh penduduk kampung dan wartawan? atau ada orang yang bersubahat menolong beliau? Hairan, macamana pula dia boleh dapat tiket bas ekspress? Harap dapat dirungkaikan dan dapat penjelasan dari Siti Balqis sendiri.
Susah untuk percaya dan sukar untuk menidakkannya, apatah lagi mengenai batu permata tuh, elokkan diperiksa dari mana datangnya. Kita pun ada teknologi canggih, sekali imbas dah boleh tahu batu jenis apa, dimana datangnya.
Sebelum itu juga, kes ini boleh dijadikan pengajaran buat kita dimana Tuhan jadikan bumi ini bukanlah untuk manusia sahaja. Hanya itu yang boleh dijadikan pengajaran, berkaitan ceritanya yang mengarut itu, jadikan lah sempadan. Masakan tidak, memang lumrah sekarang, bila berlaku kes sebegini, ramai yang lebih mempercayai bomoh dari pengamal perubatan Islam atau dengan kata lain, berubat dengan kaedah Islam. Ramai yang masih tidak percaya atau kurang yakin dengan majlis bacaan Yassin dan lebih selesa menggunakan khidmat bomoh-bomoh yang entah betul atau tidak. Satu soalan! Bolehkah jin ditangkap dan dimasukkan ke dalam botol?.
No comments:
Post a Comment