Rahsia Besar Tentang Keburukkan Ikan Sardin


 Terbaca satu artikel tadi yang menyatakan kita tidak boleh makan ikan sardin kerana didalam tin ikan sardin itu mempunyai bahan kimia??tapi betul ke??mari kita baca kenyataan itu dan maklum balas dari pihak produk Sardin Ayam Brand sendiri.
Pernah makan ikan sardin? Pasti anda tahu yang tulang ikan sardin tersangatlah lembut. Bagaimanakah ikan sardin ini diproses sehingga semua tulangnya menjadi lembut? Kalau kita membuat eksperimen sains yang mudah di rumah dengan merebus seekor ikan kembung selama 3 hari 3 malam secara berterusan, insya-Allah akan kita dapati bahawa tulang ikan kembung ini tidak akan lembut. Mari kita ubah eksperimen ini dengan menggunakan pressure cooker memasak ikan kembung tersebut selama 3 hari 3 malam juga. Keputusannya akan tetap sama, tulang ikan kembung ini akan tetap keras.
Apa yang ingin dipersoalkan di sini ialah mengapa tulang ikan sardin ini sedia lembut apabila dikeluarkan dari tinnya? Jawapannya ialah sudah tentu terdapat bahan kimia khas yang dimasukkan ke dalam tin ikan sardin ini yang telah bertindak balas dengan tulang ikan ini sehingga menjadikan tulang ini lembut. Bahan kimia inilah yang menjadi ancaman kepada manusia apabila mereka memakan ikan sardin.
Apakah ancaman kepada manusia apabila memakan ikan sardin? Pemerhatian pertama atau kes pertama yang digunakan sebagai bahan bukti buruknya amalan makan sardin ialah kes seorang wanita yang terpaksa dibuang keseluruhan rahimnya kerana ketumbuhan fibroid di dalam rahimnya. Setelah disiasat, beliau memang gemar memakan ikan sardin dan mee maggi. Maklumlah bagi seorang wanita dengan kerjaya besar yang sentiasa sibuk dan tiada orang gaji, penyelesaian mudah ialah memasak nasi berlauk ikan sardin dan kalau ingin lebih ringkas, stok mee maggi sentiasa tersedia.
Hamba Allah ini telah kehilangan rahimnya semenjak usianya awal 40an. Begitulah, jikalau kerap seseorang terutama sekali orang perempuan gemar makan sardin, jawapannya, pelbagai tumor seperti fibroid akan tumbuh di dalam rahim. Fibroid sebenarnya adalah sejenis kanser benign yang tidak merebak ke bahagian lain tubuh. Sebenarnya berdasarkan pemerhatian-pemerhatian lalu ini boleh dirumuskan seolah-olah di dalam tin ikan sardin terdapat sejenis bahan kimia yang bersifat karsinogen (bahan kimia penyebab kanser). Apabila sudah cukup tempohnya, ia akan menyebabkan tumor atau kanser samada benign atau malignan. Tetapi, berdasarkan kajian ia banyak menyebabkan fibroid dalam rahim dan tumor.
Ada satu lagi kes iaitu seorang hamba Allah yang secara tiba-tiba sewaktu mengandungkan anak keduanya iaitu seorang anak perempuan tiba-tiba mengidam makan ikan sardin. Hampir setiap hari sepanjang mengandungkan anak perempuannya ini hamba Allah ini akan makan ikan sardin. Akibat dari tabiat ini, sebaik sahaja anak perempuan keduanya ini dilahirkan, terdapat ketumbuhan pada rahim bayi perempuan ini. Pembedahan terpaksa dilakukan ketika bayi ini berusia dalam lingkungan 3 bulan. Begitulah azab diperolehi dari tabiat gemar makan ikan sardin.

TAHUKAH ANDA ARTIKEL DI ATAS ADALAH PALSU DAN FITNAH. 

MAKLUM BALAS DARI SYARIKAT BRAND SENDIRI

Assalamualaikum.
Tuan / Puan,
Terima kasih kerana menghubungi pihak kami dan memberitahu kami mengenai emel internet palsu yang berniat jahat bahawa Sardin Dalam Sos Tomato Ayam Brand mengandungi bahan yang boleh menyebabkan kanser.
Kami ingin menegaskan di sini bahawa emel yang tuan/ puan terima itu adalah tidak benar dan merupakan kenyataan fitnah yang menyatakan produk Sardin Ayam Brand dalam Sos Tomato mengandungi bahan-bahan yang boleh menyebabkan kanser dan tidak HALAL.
Bagi pengetahuan pihak tuan / puan, tulang ikan menjadi lembut adalah kesan dari proses penyahkuman (sterilization) di mana ikan-ikan sardin yang telah di tinkan di masak di dalam sebuah dandang (atau “retort”) pada suhu mencecah 120°C selama satu jam. Ini perlu bagi memastikan semua kuman dan bakteria yang terdapat di dalam makanan dalam tin tersebut terhapus dan selamat untuk dimakan. Proses ini adalah wajib di dalam sebarang proses pengeluaran produk makanan dalam tin dan ianya tidak boleh disamakan dengan masakan di rumah walau menggunakan “pressure cooker” sekalipun.
Setakat ini tiada laporan klinikal atau saintifik yang mengaitkan sardin sebagai punca kepada ketumbuhan fibroid atau mana-mana jenis kanser. Sebaliknya Sardin Ayam Brand secara saintifiknya mengandungi minyak ikan Omega-3, kalsium dan bahan mineral lain yang kita perlukan.
Semua produk Ayam Brand adalah disijilkan HALAL, dibawah naugan badan-badan pensijilan HALAL yang diiktiraf oleh JAKIM mengikut negara-negara pengeluar produk tersebut.
Semua produk Ayam Brand yang dikeluarkan di Malaysia adalah disahkan HALAL oleh JAKIM ( Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ). Kilang pemproses Sardin dalam Sos Tomato kami di Taiping, Malaysia, adalah disijilkan HALAL oleh JAKIM dan hanya dibenarkan untuk mengeluarkan produk-produk HALAL.
Pengurusan dan pengawalan semua Pensijilan HALAL dan prosedur-prosedurnya adalah dibawah kelolaan Head of Ayam Brand Halal Department.
Kami ingin mengingatkan semua pengguna bahawa penyebaran kenyataan-kenyataan palsu terutamanya yang bertujuan untuk menakut-nakutkan pengguna mengenai produk makanan adalah salah disegi undang-undang jenayah dan pihak kami tidak akan ragu-ragu untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang berbuat demikian.
Kami berbesar hati jika pihak tuan / puan sebagai muslimin dan muslimat yang bertanggungjawab boleh mengedarkan emel ini kepada sesiapa yang telah menerima emel palsu tersebut untuk mengurangkan kebimbangan mereka.
Akhir sekali, terima kasih kerana sokongan pihak tuan/ puan terhadap produk barangan Ayam Brand.
Sila rujuk kepada saya sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau maklumat selanjutnya.
Wassalam.
Yang Benar,
Encik Mohammad Hisham bin Hj.Talib
Head of Ayam Brand Halal Department
A.Clouet & Co (KL) Sdn. Bhd.
Tel : 05-895 8811 ( Direct line )
 
p/s: sebelum membuat sesuatu kenyataan, perlulah kita menyiasat terdahulu okay??
 
Sumber http://infokinie.blogspot.com/2013/04/rahsia-besar-tentang-keburukan-ikan.html 

  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...